ALLAH TOLAK AMALAN BAIK GOLONGAN KUFFAR Tidak sama di sisi Allah SWT antara yang baik dan yang buruk sama ada amalan yang baik dengan amalan yang buruk, perangai yang baik dengan perangai yang buruk, pegangan yang baik dengan pegangan yang buruk, kepercayaan yang baik dengan kepercayaan yang buruk, ilmu yang baik dengan ilmu yang buruk. Walaupun menakjubkan kamu melihat perkara yang buruk, ramai mengikut yang buruk dan ramai yang mendapat harta yang haram sekaligus kaya atau menjadi jutawan dengan hasil yang haram.
Tidak sama dengan yang baik, perkara yang buruk itu dari segi kebaikan di dunia dan di akhirat sebagaimana tidak sama di antara iman dan kufur walaupun seringkali engkau melihat kehidupan orang yang beriman itu susah. Sementara orang yang kufur itu senang. Orang yang beriman itu berada dalam kesulitan sementara orang yang kufur itu berada dalam kesenangan. Begitulah juga negeri yang baik dan menegakkan ajaran Allah SWT dengan negeri yang sebaliknya.
Firman Allah yang bermaksud : “ Dan negeri (tanah) yang baik, keluar tumbuh-tunbuhan dengan izin Allah SWT dan tanah yang buruk tidak mengeluarkan melainkan yang tidak baik.” (Surah al-A’araf : 58)
“ Adakah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh seperti orang yang melakukan kejahatan di atas muka bumi, adakah sama orang-orang yang bertakwa dengan orang-orang yang jahat ?” (Surah Sodh :28)
“Adakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu beranggapan bahawa Kami jadikan mereka sama seperti orang yang beriman dan mengerjakan amal yang solih ?” (Surah al-Jathiah :21)
Tidak sama disisi Allah SWT orang yang beriman dan beramal solih dengan orang yang tidak beriman dan melakukan kemungkaran. Tidak diterima amalan sedemikian rupa dan ia tidak sama dengan orang-orang beriman.
“Adakah kamu jadikan bahawa kerja kamu member minum kepada jemaah haji yang dating ke AMakkah dengan air zamzam dan kamu memakmurkan Masjidil Hara, kamu jadikan ia sama dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan akhirat serta berjihad pada jalan Allah, tidak sama di sisi Allah.” (Surah at-Taubah : 19)
Walaupun Musyrikin Makkah member jemaah haji minum dengan air zamzam dan memakmurkan Masjidil Haram dengan titik peluh mereka, tetapi amalan mereka tidak diterima Allah SWT. Walaupun itu amalan yang dilakukan mestilah dibina diatas iman, sekaligus amalan yang baik nescaya mahal nilaiannya di sisi Allah SWT.
Sementara yang buruk pula murah bahkan tiada nilaian langsung di sisi Allah SWT. Mengikut riwayat al-Wahidi dan al-Attohani di dalam kitab al-Targhib, ayat ini mempunyai sebab turunnya berkait dengan pengharaman arak.
Mengikut riwayat Jabir bahawa Nabi SAW telah menyebut berkenaan pengharaman arak. Lalu bangun seorang Badwi, lalu dia berkata : “ saya menjadikan arak sebagai barang perniagaan saya. Dan daripadanya saya memperolehi harta. Adakah harta daripada arak itu member manfaat kepada saya ?”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu melainkan yang baik” Lalu Allah menurunkan ayat ini. Menikut riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud “ sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu menyembah berhala, meminum arak dan mencela keturunan. Ingatlah sesungguhnya arak itu dilaknat, orang yang meminumnya, orang yang memerahnya, orang yang menghidangnya, orang yang menjualnya dan orang yang memakan hasil jualannya.”
Seorang Badwi bangun dan bertanya, “ Wahai Rasulullah SAW, saya saya seorang yang menjadikan arak sebagai perniagaan saya, saya mengambil daripada harga jualan arak menjadi harta saya. Adakah member manfaat sekiranya saya membelanjakan harta itu ke jalan Allah ?”
Baginda SAW menjawab “ Sekiranya engkau membelanjakannya, menunaikan haji , berjihad atau bersedekah, ia tidak ada nilai di sisi Allah walaupun sebesar sebelah sayap nyamuk. Sesungguhnya Allah tidak menerima melainkan apa yang baik.”
Hadis ini menyatakan sebab turun ayat ini. Menunjukkan kepada kita bahawa semua harta benda yang haram ditolak Allah. Sama ada harta benda yang haram itu kerana menjual barang yang haram, termasuk arak, babi, judi, mencuri dan seumpamanya ataupun dengan berjual beli secara haram (jual beli yang tidak sah disisi syarak).
ENAM SYARAT PUASA BERSIFAT BATINIAH Terdapat enam syarat puasa bersifat batiniah yang perlu dilakukan ketika berpuasa.
PERTAMA ; ikhtiar kawal pandangan mata daripada melihat sekehendak hati, kepada perkara dimarahi dan dicela syarak. Yang boleh melalaikan daripada mengingati Allah SWT dan membawa haram.
KEDUA ; kawal lidah semasa berpuasa daripada perkara yang tergolong bahay, antara menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah – bercakap bohong, mengumpat, mengadu domba, menyumpah seranah, bertutur dan berkelakuan kasar, bergaduh dan menunjuk-nunjuk.
Semua itu termasuk dalam fujur iaitu segala sifat mazmumah yang dibenci oleh syara’. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud “ Dan jiwa serta penyempurnaan (ciptaanNYa), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy-Syams : 7-10)
KETIGA ; kawal telinga daripada mendengar segala perkara yang tidak disetujui Allah SWT, sama ada yang makhruh apatah lagi yang haram. Justeru, Allah SWT menyamakan antara orang yang mendengar perkara yang tidak baik, orang yang makan barang haram.
Dari segi ubudiyah terhadap Allah SWT bahawa lidah dan telinga fungsinya sama, justeru setiap yang dilarang menuturnya maka dilarang juga mendengarnya seperti yang ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud ; “Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita dusta, banyak memakan yang haram,” (Surah al-Maidah : 42)
KEEMPAT ; pelihara tangan dan kaki daripada segala aktiviti dosa, tangan tidak menjamah dan kaki melangkah ke tempat yang terlarang. Kawal perut daripada barang syubhah waktu berbuka puasa. Makanan yang haram sudah semestinya wajib dihindari, kerana bagaimana seseorang itu berfikir sedangkan pada siang hari makanan yang halalpun dijauhi. Tidak ada ertinya jika sanggup berlaparsepanjang hari kerana berpuasa, tiba-tiba sediakan juadah berbuka daripada sumber yang haram.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ; “ Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat suatu apapun, hanya mendapat lapar dan dahaga.” Ramai orang yang menyangka dirinya telah beribadah dengan sempurna, dan berharap akan mendapat faedah di akhirat, tetapi dia tidak memikirkan dan berusaha bagaimana ibadah yang dikehendaki oleh ALLAH SWT, yang boleh menjadi bekalan pada hari kiamat kelak.
Ulama’ ketika menafsirkan hadis tersebut menyatakan, bahawa itulah jenis orang yang berpuasa, tetapi waktu berbuka daripada rezeki yang tidak halal. Sesetengahnya pula berpendapat bahawa mereka berbuka dengan rezeki yang halal. Tetapi malangnya lidahnya terbabit dengan mengumpat. Dan setengah ulama’ pula berpendapat, mereka tidak menjaga anggota tubuhnya daripada melakukan dosa, seperti tidak mengawal pandangan dan pendengaran.
KELIMA ; meskipun makanan yang dihidangkan untuk berbuka adalah daripada hidangan yang halal, tetapi tidak sayogia memakannya dengan banyak hingga kenyang. Jika nasihat nabi SAW jadi amalandalam perkara makan, supaya berhenti makan sebelum kenyang, ia member kesan yang baik kepada tubuh badan.
Kenyang terutamanya waktu berbuka ia akan mengakibatkan mengantuk dan malas. Seterusnya akan menjejaskan ibadah bagi menghidupkan malam pada bulan Ramadhan yang mulia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ; “ Tiada perut yang dibenci oleh Allah SWT melainkan, perut yang dipenuhi makanan yang halal” Makanan yang halalpun boleh ke peringkat haram sekiranya berlebihan memakannya. Justeru, pada pandangan ahli ‘tazkiatun nafsi’ supaya membahagikan kandungan perut dengan tiga bahagian. Satu pertiga untuk makanan, sepertiga untuk air, dan sepertiga lagi untuk udara (bagi pernafasan). Dengan demikian anggota badan akan sentiasa sihat.
Bagaimana orang berpuasa mendapat fadhilat, jika tidak mengawal nafsu makan bagi memerangi syaitan. Jika dia kaut semua hidangan untuk balas dendam setelah seharian berlapar. Seolah sudah menjadi budaya menyediakan makanan lazat yang jarang ditemui diluar Ramadhan. Padahal tujuan berpuasa untuk menundukkan syahwat, supaya tidak tidak jadi jambatan syaitan musuh manusia dan musuh Allah SWT.
Kemungkinan syahwat yang hendak dikekang itu menjadi bertambah gagah pada bulan puasa. Ini kerana makanan istimewa yang jarang ditemui semakin mewah pada bulan puasa. Sebenarnya hikmah dan rahsia puasa difardhukan oleh Allah SWT, untuk melemahkan segala kekuatan syahwat, yang menjadi kuda tunggangan syaitan untuk mendorong manusia melakukan kejahatan.
Justeru, sesiapa yang meletakkan karung makanan di antara dada dan hati, orang itu pasti terdinding daripada cahaya malaikat.
KEENAM ; setiap kali berbuka puasa hendaklah ada perasaan antara takut dan menaruh harap, semoga puasanya dan ibadahnya diterima lalu dirinya jadi orang yang rapat dengan Tuhan. Ataupun ditolak dan amalannnya dilempar semula lalu jadi orang yang dimurkaiNya.
|
Post a Comment