Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kebenaran, dia mendapat ganjaran pahala sama seperti ganjaran pahala orang-orang yang mengikuti ajakannya, tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka.
Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, dia mendapat dosa sama seperti dosa orang-orang yang mengikutnya, tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Munajat Seorang Hamba
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM....
ALHAMDULILLAHI RABBIL A'LAMIN
WASSALATU WASSALAMU A'LA ASHRAFI AMBIYAAI ALMURSALIN WA A'LA ALIHI WASAHBIHI AJMA'IN
Ya allah, Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa keluarga kami, dosa masyarakat kami dan dosa keseluruh umat islam masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon apa yang telah dipohonkan oleh nabi Muhammad SAW dan kami meminta perlindungan daripada apa yang pernah diminta baginda SAW. Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon syurga tanpa hisab dan berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan segala perkara yang boleh membawa kami ke arahnya, selamatkan kami Ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah ya Tuhan kami, engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami zahir dan batin. berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami. Tambahkanlah Ya Allah kepada kami ilmu, iman, dan amal. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami kami pohon kepada Engkau Iman yang sempurna, Ilmu yang memberi manfaat, Rezeki yang halal, Anak yang soleh, Rumahtangga yang bahagia, Usia yang berkat, Doa yang mustajab, hajat yang tertunai, Kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, Keselamatan di dunia dan di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau di hati kami, hidupkanlah hati ini dan segala yang terbuku di hati kami, hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini ke[pada Engkau, sembuhkanlah segala penyakit yang berada di hati kami, selamatkanlah hati kami daripada sifat-sifat yang keji dan jauhilah kami daripada perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah Ya tuhan kami, jadikanlah hati kami hati yang sentiasa menyedari akan hakikat KetuhananMu dan Kerajaan-kerajaanMu dan masda depan kami di akhirat nanti. Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami ini hambaMu yang mengabdikan diri kepada Engkau dengan sebaik-baiknya. Berikanlah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami, supaya dapat kami melakukan segala yang diperintah oleh Engkau, meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.
Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas mati.
Ya Allah Ya Tuhan kami, hidupkanlah kami dalam Iman dan matikanlah kami dalam Iman, selamatkanlah Iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembus nafas yang terakhir. Ya Allah Ya Tuhan, selamatkanlah kami semasa berada di dalam kubur, jadikanlah kubur kami salah satu taman dari taman syurga, selamatkanlah kami daripada seghala angkara azab kubur dan jangan Engkau jadikan kubur kami itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.
Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa dalam perjalanan menuju Mahsyar. Selamatkanlah kami Ya Allah semasa berada di padang Mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam tujuh golongan orang yang mendapat bayangan naungan 'Arasy Engkau.
Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkan kesilapan kami zahir dan batin semasa kami dijalankan hisab, hisabkanlah kami Ya Allah dengan hisab yang ringan, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat nabi kami, Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hambaMu ini, hamba yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan. Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam Nabi kami al-Kauthar. Selamatkanlah kami semasa menyeberangi titian Siratulmustaqim.
Ya Allah Ya Tuhan kami, masukkanlah kami ke dalam syurga Engkau bersama orang-orang yang memasukinya.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah Ya Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini dengan berkat nabi kami Nabi Muhammad SAW dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas.
Anda ingin menonton saluran TV Malaysia TV1, TV2, TV3 dan TV9 secara langsung di Qatar (Internet)? Anda boleh cuba klik butang TV di bawah ini atau klik alamat ini http://tvkebangsaan.blogspot.com
TV1 Malaysia Live(Klik butang "Play")
TV2 Malaysia Live
TV3 Malaysia Live
Terdapat beberapa kemungkinan sekiranya anda gagal mendapat siaran TV tersebut;
1. Anda tiada software plugin untuk menonton TV di pelayan web. Untuk mengatasi masalah ini anda perlu;
Contoh memasukkan alamat URL TV tersebut ke Media Player;
Buka Media Player anda
Klik menu File - Open URL...
Masukkan alamat URL TV tersebut dan klik OK
2. Kemungkinan ke-2, Internet anda telah dihalang/sekat untuk akses sesetengah alamat laman. Untuk mengatasi masalah ini anda boleh cuba menonton melalui proxy atau pasang software ini http://www.anchorfree.com/downloads/hotspot-shield/
3. Kemungkinan lain, siaran TV tersebut memang offline. Untuk info, setakat hari dan masa ini, siaran TV1, TV2 dan TV3 masih boleh ditonton oleh saya di Qatar. Saya boleh menonton TV1 dan TV2 setelah memasang Hotspot Shield. Kemungkinan Q-Tel telah menyekat saluran TV1 dan TV2 ini.
Cara lain untuk menonton TV3 adalah melalui software P2P seperti SopCast. Caranya;
Alhamdulillah kita tamat menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan 1431H. akan datang.
Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.
Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.
Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?
Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.
Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah...
Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.
"Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya.." Amin.
Hari ni dah nak habis hari ke enam syawal, tinggal beberapa minit lagi masuklah hari yang ke tujuh syawal 1430M. Jemputan ke rumah terbuka masih tak putus-putus, al-Hamdulillah rezeki.
Makin banyak rumah terbuka yang dikunjungi, makin ramai kawan baru. Hubungan silaturrahim juga makin bertambah. Islam memang menggalakan umatnya menjalinkan hubungan silaturrahimkan...Kalau tak sebelum hanya beberapa kerat sahaja yang K.Azie kenal, itupun ramai dikalangan satu compound...sekarang makin bertambah lagi. Terasa kemanisannya hidup ramai kenalan, tak adalah macam perumpamaan 'katak bawah tempurung', entah betul ke idak penggunaannya dengan situasi..hehehe. Hentam ajelah labu, dah itu yang terlintas kat benak ni.
Lagi satu antara sebab bertambahnya kenalan, dengan bisnezzz mee kuning dan frozen food..dari hari ke hari makin ramai lak yang order. Dengan adanya tempahan-tempahan ni, maka makin luaslah kenalan dan tempat yang kami pergi. maklumlah ada yang memerlukan khidmat penghantaran. Jadi, terpaksalah Abang Amir menjadi pemandu untuk menghantar tempahan. Terima kasih banyak-banyak ye my lovely hubby...
K.Azie juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kawan-kawan yang telah menyampaikan perkhidmatan yang K.Azie sediakan dari mulut ke mulut. Tak tahu macam mana nak membalasnya, semoga ALLAH melimpahkan rezeki dan rahmatNYA kepada kita semua. InsyaALLAH K.Azie akan cuba memberikan khidmat yang terbaik. Dan kepada semua, sekiranya ada apa-apa komen jangan segan-segan beritahu K.Azie ye....
Semalam kami mengadakan makan-makan ala-ala rumah terbuka gitu...sebenarnya taklah terbuka...sebab yg datang tu adalah mereka-mereka yang dijemput sahaja. Jemputan pula terhad. K.Azie hanya menjemput kawan-kawan satu komuniti dan beberapa orang rakan karib serta rakan-rakan bujang.
Sebenarnya majlis tu lebih kepada untuk meraikan rakan-rakan bujang, yang terpaksa berpisah sementara dengan anak isteri serta keluarga demi mencari rezeki di bumi orang. Tapi dah alang-alang buat makan-makan tu...panggillah sekali kawan-kawan sini. Makananpun ala kadar je...nasi himpit yang tak berhimpit, satay - satay first making dalam hidup, dan mee ladna disamping biskut raya.... Pada mulanya nak buat rendang sikit, tapi tak sempat...sataypun tak sempat cucuk habis...jadi terpaksalah jiran tertangga yang datang menyucuknya...Terima kasih ye Norin, dan terima kasih juga Encik hubbynya Remboe kerana meminjamkan isterinya untuk membantu meringankan tugas K.azie...lain kali jangan serik datang menolong K.Azie ye...hehehe
Kat bawah ni antara gambar2 yang entah berapa keping je yang sempat di ambil Abang Amir...layan ajelah ye.....
Tak sempat nak cerita panjang, banyak kerja yang perlu disiapkan untuk majlis ala-ala rumah terbuka esok. Terbuka kecil-kecil saja, nantilah buat betul-betul yang ni macam main-main pulak ye....Sebenarnya lebih untuk meraikan 'kawan-kawan bujang' kat sini...tapi dah alang-alang tu, jemputlah kawan-kawan al-Haya sekali....
Layan sajalah gambar-gambar raya pertama kat perantauan ni....juadah biskut raya, solat sunat aidilfitri kat embassy, dan beraya kat rumah Hj Baharuddin dan Hjh Esah.....
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin
Friday, September 18, 2009
Kad raya ni buat semua keluarga di Malaysia dan kawan-kawan tak kira di mana jua berada. Semoga ikatan yang terjalin akan sentiasa kukuh sampai ke akhirnya. Kami sekeluarga menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekira ada ketelanjuran kami sama ada sedar atau tidak. Halalkan makan minum kami
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN......
Raya tahun ini merupakan raya pertama kami di perantauan, berjauhan daripada keluarga dan sahabat handai. Tapi masih terasa kemeriahannya, kami kaum ibu kat al-haya ni semakin sibuk dengan persiapan rayanya, terutama dengan penyediaan biskut raya (sempat lagi bertukar acuan biskut, hehehe). Hubungan yang terjalin semakin hari semakin erat rasanya. InsyaALLAH hubungan ini akan terus mekar sampai ke akhirnya.
Mungkin raya pertama kami sebelah paginya kat embassy, masa ni lahkan nak jumpa rakyat Malaysia yang berada di bumi Qatar ni, terutamanya sekitar Doha ni. Dan masa nilah juga kami dapat merasa masakan Malaysia...Tapi, tak tahulah macam mana, sebab mengikut kata kawan-kawan yang pernah beraya kat sini, tahun lepas tak cukup makanan...ramai sangat rupanya rakyat Malaysia kat sini ye..Harap-harap tahun ni cukuplah ye...
Ni pun dah pening memikirkan juadah apa untuk raya yang tinggal sehari lagi kot...dan masih sibuk dengan tempahan...Maklumlah biasanya kalau kat Malaysia, tak pernah masak makanan utama, selalunya menumpang kat rumah mak dan ma.....Tapi, tahun ni tak ada lagikan. Kedua-dua ibunda dan ibunda mertua sudah kembali kepada Yang Maha Pencipta, semoga roh keduanya ditempatkan bersama dengan orang-orang beriman. Amin....
Malam raya Abang Amir kerja...pagi raya baru dia balik...tapi dah biasa, kalau kat Malaysia dulupun dia selalu kerja malam pada hari raya...pandai-pandailah atur jadual ye....Tapi buat kawan-kawan Qatar, jemputlah datang ke rumah ye...
Segala puji bagi Allah S.W.T yang mana telah mencipta bumi dan langit, bumi itu pula berlapis, dan langit itu bertingkat walaupun kita tidak dapat lihat dengan mata kasar.. Begitu juga dengan manusia yang hidupnya itu akan melalui alam-alam, yang bermula dengan penciptaan datuk moyang kita Nabi Adam A.s hingga ke alam barzakh sebelum kita ke alam yang abadi iaitu kekal di Syurga.
Berapa alam yang manusia akan lalui sebenarnya?
Alam yang pertama
1. Alam yang kita lalui di sulbi ayah.
2. Kemudian berpindah ke dalam Rahim ibu.
“Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunan Adam dari punggungnya, dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu”(Surah Al-A’raaf ayat 172)
Jelaslah di ayat ini, yang mana Allah S.W.T telah menyatakan kisah Hari Mitsaaq (hari perjanjian) yang mana kita zuriat Nabi Adam A.s telah pun berjanji untuk mengakui keesaan dan ketuhanan Allah S.W.T
Alam yang manusia akan telah pun lalui di alam yang mana masanya sejak Allah Ta’ala mencipta Adam A.s dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya yang penuh keberkatan.
Alam yang kedua
Alam yang kita menjalani hidup di dunia.
Ibnul Jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur itu kepada lima kategori:
1. Masa kanak-kanak: iaitu dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun.
2. Masa muda: iaitu dari peringkat umur lima belas tahun (15), hingga umur tiga puluh lima tahun (35).
3. Masa dewasa: iaitu dari peringkat umur 35 tahun, hingga 50 tahun.
4. Masa tua: iaitu dari peringkat umur 50 tahun hingga umur 70tahun.
5. Masa tua Bangka, iaitu dari peringkat umur 70 tahun hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.
Mengapakah para Ulama telah membahagikan umur-umur manusia hingga sedemikan peringkat? Apa yang kita sebagai manusia -lebih lebih lagi umat Islam dapat mempelajari dari pembahagian ini?
Kerana di alam yang kedua inilah alam yang tidak kekal alam yang manusia diminta untuk beramal dan diuji, amalan kita di ambil kira dihisab, oleh itu, maka elok kita mengenal pasti peringkat mana yang harus kita mula mendidik dan anak-anak kita mula beramal. Bukan kah Nabi Muhammad S.A.W telah memesan umat Islam:
“Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara”
1. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan.
3. Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
4. Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.
Alam yang ketiga
Di alam Barzakh, ketika kita di kubur.
Bermulanya dari masa manusia keluar dari dunia ini dengan menempuhi mati hinggalah ia dibangkitkan dari kubur.
Siksaan kubur
Siksaan Kubur adalah HAK iaitu benar, sepertimana Rasulullah s.a.w pernah berpesan. Dan beliau telah mengkhabar pada umatnya, “Kebanyakan siksa kubur disebabkan tiada memelihara diri dari kencing.”
Nabi juga berpesan supaya kita memohon pada Allah Ta’ala supaya dihindarkan dari siksaan kubur. Alam yang Allah S.W.T telah nyatakan dalam firmannya:
“Dan di hadapan mereka terdapat Barzakh, hinggalah ke hari mereka dibangkitkan.”(Al-Mu’minun: 100)
Di alam ini, walau jasad musnah kecuali para wali-wali Allah S.W.T ditelan bumi dek zaman, tetapi roh manusia itu kekal di alam Barzakh. Di alam yang mana manusia lalui antara alam Dunia dan alam Akhirat di masa antara dua tiupan.
Alam yang keempat
Di Padang Mahsyar
Bermulanya daripada kebangkitan manusia dari kuburnya untuk menerima pengadilan Tuhan, sehinggalah kepada masuknya ahli syurga ke syurga, dan masuknya ahli neraka ke dalam neraka.
“ Dan ditiupkanlah pada sangkakala, maka mereka pun bangun dari kubur masing-masing, lalu datang kepada Tuhan mereka dengan berbondong-bondong.”(Yassin:51)
Mizan (Amalan ditimbang)
Di alam ini, umat manusia akan melalui saat genting, mereka akan menuju ke padang Mahsyar supaya amalan mereka dihitung oleh Allah S.W.T, bahkan amalan mereka akan di timbang, sebagaimana firman Allah Taa’la:
“ Dan neraca pada hari itu tepat, maka barangsiapa yang berat timbangannya (kebaikan), niscayalah mereka itu menjadi orang-orangyang beruntung. Dan barang siapa yang ringan timbangannya, niscayalah mereka itu adalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tiada mempercayai keterangan-keterang an Kami.” (Al-A’raf:8-9)
Di titian Shirath
Setelah itu manusia akan melalui Shirath (jambatan), yang mana ianya dipasang di atas muka jahannam, seperti diriwayatkan, Shirath itu lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut, tatkala itu manusia akan melaluinya menurut kadar amalan masing-masing.
a. Ada yang umpama kilat ketika melintasi titian Shirath. Ada yang umpama angin. Ada yang seperti burung atau kuda.
b. Begitu juga ada yang merangkak dan ada yang dijilat api, dan yang ada terjerumus ke gaung nereka.
Di telaga Nabi Muhammad S.a.w (Haudh)
Setelah terlepas dari titian Shirath, tatkala itu umat manusia yang beriman akan menghampiri Haudh (telaga) Rasulullah S.a.w dan sekali teguk saja segala haus dan dahaga akan hilang. –Supaya Allah mengurniakan pada kita seteguk dari cawan Rasulullah S.a.w- Air dari Haudh itu lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.
Pesanan Rasulullah S.a.w
“Siapa yang melepaskan dari seorang Muslim satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keburukan) seorang Muslim, niscaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat.”
Dan marilah kita hayati kata mutiara dari Rasulullah S.a.w sebagai pedoman untuk kita tempuhi alam yang keempat ini, dan kita mengharapkan Syafaat dari Baginda S.a.w disaat itu sepertimana kita mengharapkan Syafaat serta Wasilah. Beliau setiap kali kita membaca Doa azan, “Wahai Tuhanku yang mempunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan ini, berikanlah dengan limpahan kurniaMu kepada Muhammad Wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan serta limpahkanlah kepadanya Maqam yang terpuji yang Engkau telah janjikan baginya.”
Alam yang Kelima
Di negeri Abadi (Syurga dan Neraka)
Di alam ini, adalah masa kemasukan ahli neraka dan kemasukan ahli syurga ke syuga buat selama-lamanya yang tiada hujung dan penghabisannya.
Bukankah Nabi Muhammad S.a.w diutuskan untuk membawa rahmat untuk alam-alam, namun begitu ada yang telah mengingkari risalah yang diutuskan oleh Allah S.w.t. Maka balasan buat oleh yang telah mendustakan Nabi dan tidak beriman, maka balasan mereka seperti tertera dalam Al-Quran:
“ Maka Aku memperingatkan kamu akan api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang jahat. Yang mendustakan (kebenaran) dan yang membelakangkan.”(Al-Lail: 14-16)
Telah Allah ciptakan neraka itu dengan mempunyai tujuh pintu. Sebagaimanayang tersebut di dalam Al-Quran:
“Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yang sudah ditentukan."
Nama-nama pintu dan tingkat neraka:
1. Jahannam
2. Saqar
3.Lazha
4.Huthamah
5. Sa’iir
6.Jahim
7. Hawiyah
Semua lapisan neraka yang tujuh itu telah diasak dengan berbagai-bagai penyiksaan yang berat, hukuman yang dahsyat serta penghinaan yang terkeji. Kami memohon Allah Ta’ala, agar Dia melindungi kami sekalian dari siksaan api neraka dan melindungi datuk-nenek kita, kekasih-kekasih kita dan semua kaum Muslimin.
Syurga buat mukmin
Alam syurga yang mana telah dijanjikan buat orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Bukankah Allah S.w.t telah mengkhabarkan kepada kita : “ Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya.” (Az-Zumar:73)
Syurga yang mana Nabi Muhammad S.a.w penah bersabda: “ Berfirman Allah Ta’ala: Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang saleh sesuatu yang tiada pernah:
a.dilihat oleh mata.
b. didengar oleh telinga
c. tiada telintas di hati sesiapa pun.
Nikmat-nikmat di syurga:
Bayangkan, segala nikmat yang berlaku didunia ini, tiada bandingannya di Syurga, yang penuh dengan nikmat-nikmat yang hebat diantaranya:
1. Mereka ahli syurga: bersandar di atas permaidani yang sebelah dalamnya diperbuat dari sutera.
2. Ada gadis-gadis sopan santun, belum pernah disinggung oleh manusia dan jin, dan mereka itu bagaikan permata delima dan mutiara.
3. di syurga An-Naim: ada sofa yang bertatahkan emas dan batu permata.
4. Mereka tiada merasa pening kepala atau mabuk.
5. Bidadari-bidadari yang bemata bulat jelita.
6. Tiada matahari yang berhawa panas dan bulan yang berhawa dingin.
7. Air mata Salsabil.
8. Mereka memakai pakaian dari sutera halus.
Nikmat yang besar selepas masuk ke syurga:
Melihat Allah S.w.t
Syurga-syurga yang sediakan ini, ada lapan pintu, dan ianya berbeza dari satu yang lain dan antara satu darjat dengan darjat yang lain sama seperti antara langit dan bumi.Darjat yang paling tinggi ialah Syurga FIRDAUS yang mana diatas nya terletak Arasy Allah S.w.t dan orang-orang beriman tatkala itu dilimpahi berbilang-bilang nikmat, sehingga ditanya pada mereka: Apakah ada sesuatu yang lain yang kamu mahukan Aku tambahkan? Mereka menjawab:
a. bukankah Engkau telah memasukkan kami syurga
b. dan menyelamatkan kami dari api neraka?
Kemudian Hijab pun terangkat. Maka pada ketika itu, tiada sesuatu yang diberikan kepada kamu lebih utama daripada nikmat melihat kepada Wajah Tuhan Azzawajalla.
Baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik khususnya dalam menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan dan contoh yang berjaya dalam melaksanakan tuntutan pelbagai jenis ibadat sebagai pengajaran kepada umatnya bagi mendapatkan tempat yang selesa di sisi Allah SWT pada hari kiamat.
Di mana terdapat tujuh jenis golongan manusia yang berjaya mendapat tempat di sisi Allah kerana melakukan amalan berdasarkan ilmu pengetahuan yang diwariskan oleh baginda kepada mereka..
Kejayaan mereka itu untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik menurut syarak adalah disebabkan ketekunan mereka untuk bergaul dengan insan-insan yang memiliki budi pekerti yang baik, apatah hubungan yang intim dengan Allah SWT selaku Pencipta seluruh alam.
Perkara ini ada ditegaskan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu berlaing dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana sesungguhnya seluruh hidup mereka adalag melampaui batas (agama)."
Itulah jalan bagi memastikan kedudukan iman, pegangan serta kepercayaan terus utuh melalui persahabatan dengan orang-orang yang boleh mengingatkan kita kepada Allah SWT, bukan sekadar itu, malah mencemburui serta memburu tempat di akhirat seperti tujuh golongan yang terselamat daripada ditimpa panas terik matahari sejengkal di atas kepala.
Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan tersebut menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Jelas dari apa yang disabdakan oleh baginda dalam hadis tersebut di atas, memberitahu kita bahawa golongan yang disebut itu adalah mereka yang benar-benar melaksanakan tuntutan ajaran agama Islam dalam hidup mereka, justeru mereka dianugerahkan balasan yang baik dari Allah setimpal dengan apa yang telah disumbangkan untuk kebaikan Islam.
Bukan mudah untuk menjadi hamba Allah yang sanggup berkorban demi Allah dalam segenap tuntutan kehidupan, apatah lagi terpaksa berhadapan dengan ujian yang mesti dilalui seperti yang dialami oleh tujuh golongan di atas.
Apatah lagi kepada umat Muhammad masa kini yang tenggelam dalam banyak perkara yang tidak ada hubungan dengan nilai keagamaan, termasuklah gelagat dalam bulan Ramadan dan malam hari raya, mereka memperlihatkan betapa aspek agama perlu dipelihara pada waktu tertentu secara bermusim, sehingga tindakan mereka itu tidak menjadikan mereka mampu untuk menangis kerana takut kepada Allah SWT.
Golongan yang ketujuh yang disebut oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas iaitu yang mengingati (berzikir) kepada Allah hingga menitiskan air mata bukan mudah untuk ditemui pada zaman ini, kerana manusia pada hari ini tidak memelihara sumber pemakanan yang diambil (hasil pendapatan), tidak mengendahkan pantang larang agama, halal dan haramnya sesuatu yang diperolehinya serta tidak mempedulikan nilai-nilai agama dalam kehidupan mereka, malah Islam dipinggirkan dalam hidup mereka.
Pendekatan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata
Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyuk."
Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.
Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.
Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : "Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata."
Jelas daripada ayat dan hadis di atas, menunjukkan bahawa nilai air mata yang menangis kerana takut kepada Allah SWT diganjari dengan pahala dan menyebabkan si pelakunya akan dimasukkan dalam syurga, begitulah sebaliknya jika seseorang itu yang menangis bukan kerana takut kepada Allah, maka dia akan dimasukkan dalam api neraka, malah air mata yang dialirkan itu akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan selama hidup di dunia, sama ada air mata itu akan menjadi penolonga baginya atau sebaliknya.
Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah
Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT:
1. Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.
2. Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.
3. Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.
4. Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.
5. Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.
Sehubungan itu juga, Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah ada menegaskan, bahawa terdapat jenis tangisan yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain berdasarkan kefahaman serta penghayatan seseorang itu terhadap agamanya:-
1. Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.
2. Menangis kerana rasa takut.
3. Menangis kerana cinta..
4. Menangis kerana gembira.
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6. Menangis kerana terlalu sedih.
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10. Menangis orang munafik - pura-pura menangis.
"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (AnNajm:43)
Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT.
Ibadat pada waktu malam
Sesungguhnya waktu malam adalah satu waktu yang disifatkan paling penting dan utama, bukan sahaja ia bersifat hening dan tenang, malah jauh dari sebarang rasa sikap untuk menunjuk-nunjuk ibadat yang dilakukan kepada orang lain.
Justeru peristiwa penting dalam sejarah Islam kebanyakannya berlaku pada waktu malam seperti peristiwa penurunan al-Quran malam al-Qadr, peristiwa penghijrahan baginda Rasulullah dan Abu Bakr, Israk Mikraj dan lain-lain.
Begitulah juga dengan Rasulullah s.a.w yang merupakan hamba maksum yang dijanjikan Allah syurga, tetapi baginda tetap mendirikan ibadat pada malam hari sehingga pecah-pecah kedua-dua telapak kakinya. Demikianlah gambaran hamba yang mampu bersyukur ke atas nikmat anugerah Allah kepadanya.
Hadis daripada Ali Said r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda: Barang siapa terjaga daripada tidur di waktu malam, dan mengejutkan keluarganya, lalu sembahyang dua rakaat, ditulis bagi mereka itu dalam golongan orang yang mengingati Allah lelaki dan perempuan - Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.
Abdullah bin Salam menyatakan kata-kata yang mula-mula sekali beliau dengar daripada Rasulullah s.a.w. ialah sabdanya: Wahai manusia berilah salam, beri makan dan hubungkan silaturahim, dan sembahyang malam ketika orang ramai tidur, kamu semua masuk syurga dengan selamat sejahtera - Riwayat Tarmizi.
Sesungguhnya mendirikan ibadat di waktu malam itu amalan para salehin dan muqarrabin. Ia memberi kesan pada pembentukan peribadi, menyumbang kebahagiaan di dunia dan akhirat, menghindarkan penyakit, meraih ketenangan.
Rasulullah s.a.w. menggesa agar setiap orang melakukannya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Ketika sakit atau terasa malas, baginda sembahyang dalam keadaan duduk. - Riwayat Abu Daud.
Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.
Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.
Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.
keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.
Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."
Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.
Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."
Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.
Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.
Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.
Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.
Janji-janji Allah pada hamba-Nya
Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.
Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.
Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.
Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."
Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."
Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.
Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.
Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan.
Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.
Name: Nojie Alias Home: Al Khor, Qatar About Me: Ibu kepada 4 orang anak ( 2 putera dan 2 puteri). Sedang belajar mengenali diri sendiri dan yang Maha Pencipta...semoga Allah perkenankan segala impian dan cita-cita. Amin.... See my complete profile