Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kebenaran, dia mendapat ganjaran pahala sama seperti ganjaran pahala orang-orang yang mengikuti ajakannya, tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka.
Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, dia mendapat dosa sama seperti dosa orang-orang yang mengikutnya, tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Munajat Seorang Hamba
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM....
ALHAMDULILLAHI RABBIL A'LAMIN
WASSALATU WASSALAMU A'LA ASHRAFI AMBIYAAI ALMURSALIN WA A'LA ALIHI WASAHBIHI AJMA'IN
Ya allah, Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa keluarga kami, dosa masyarakat kami dan dosa keseluruh umat islam masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon apa yang telah dipohonkan oleh nabi Muhammad SAW dan kami meminta perlindungan daripada apa yang pernah diminta baginda SAW. Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon syurga tanpa hisab dan berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan segala perkara yang boleh membawa kami ke arahnya, selamatkan kami Ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah ya Tuhan kami, engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami zahir dan batin. berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami. Tambahkanlah Ya Allah kepada kami ilmu, iman, dan amal. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami kami pohon kepada Engkau Iman yang sempurna, Ilmu yang memberi manfaat, Rezeki yang halal, Anak yang soleh, Rumahtangga yang bahagia, Usia yang berkat, Doa yang mustajab, hajat yang tertunai, Kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, Keselamatan di dunia dan di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau di hati kami, hidupkanlah hati ini dan segala yang terbuku di hati kami, hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini ke[pada Engkau, sembuhkanlah segala penyakit yang berada di hati kami, selamatkanlah hati kami daripada sifat-sifat yang keji dan jauhilah kami daripada perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah Ya tuhan kami, jadikanlah hati kami hati yang sentiasa menyedari akan hakikat KetuhananMu dan Kerajaan-kerajaanMu dan masda depan kami di akhirat nanti. Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami ini hambaMu yang mengabdikan diri kepada Engkau dengan sebaik-baiknya. Berikanlah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami, supaya dapat kami melakukan segala yang diperintah oleh Engkau, meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.
Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas mati.
Ya Allah Ya Tuhan kami, hidupkanlah kami dalam Iman dan matikanlah kami dalam Iman, selamatkanlah Iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembus nafas yang terakhir. Ya Allah Ya Tuhan, selamatkanlah kami semasa berada di dalam kubur, jadikanlah kubur kami salah satu taman dari taman syurga, selamatkanlah kami daripada seghala angkara azab kubur dan jangan Engkau jadikan kubur kami itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.
Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa dalam perjalanan menuju Mahsyar. Selamatkanlah kami Ya Allah semasa berada di padang Mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam tujuh golongan orang yang mendapat bayangan naungan 'Arasy Engkau.
Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkan kesilapan kami zahir dan batin semasa kami dijalankan hisab, hisabkanlah kami Ya Allah dengan hisab yang ringan, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat nabi kami, Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hambaMu ini, hamba yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan. Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam Nabi kami al-Kauthar. Selamatkanlah kami semasa menyeberangi titian Siratulmustaqim.
Ya Allah Ya Tuhan kami, masukkanlah kami ke dalam syurga Engkau bersama orang-orang yang memasukinya.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah Ya Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini dengan berkat nabi kami Nabi Muhammad SAW dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas.
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah berjanji mengabulkan doa melalui ayat 60, Surah Ghafir,
وقال ربكم ادعوني أستجب لكمإن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين
Maksudnya: Allah telah berkata; Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doamu. Syarat doa diperkenankan ialah dengan berdoa sepenuh hati.
ادعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة، واعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaankamu yakin Allah akan memperkenankannya. Sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan tidak bersungguh. Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi.
3. Tauhid yang benar. Maksudnya akidah kita betul dengan mengesakan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah.
Bagaimana rasanya setiap kali selepas mandi ? Apatah lagi jika kita mandi menggunakan sabun dan syampu yang aromanya semerbak wanginya ? Badan terasa segar dan cergas kembali, bukankah begitu ?
Begitulah hidup kita, dosa-dosa ialah kotoran yang menggelapkan hati menyebabkan hidup terasa tidak ceria dan bersemangat.
Basuhlah dosa-dosa dengan solat dan taubat. Hargailah nikmat ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ yang Allah campakkan dalam diri kita. Sambutlah lambaian Allah tersebut dengan kembali kepadaNya dengan sebenar-benar kembali. Taubat yang bersungguh dan doa yang penuh mengharap itu akan menyegarkan jiwam kita semula.
Pedulikan apa kata orang. Apa yang penting Allah sangat luas rahmat dan keampunanNya. Ingatilah, saat sakaratulmaut menjemput kita, Allah satu-satunya zat yang dapat menyelamatkan kita.
Walau sejuta pujian atau sejuta kejian manusia terhadap kita sedikit pun tidak dapat membantu kita saat penuh debaran itu. Pandanglah hari ini dan hari yang akan datang kerana Allah sudi mengampunkan dosa-dosamu. Selaklah lembaran ‘Surat Cinta Ilahi’ yakni al-Quran setiap hari.Di sana, akan kau temui siraman demi siraman kasih Allah padamu yang tidak bertepi.
Akhir kata, Allah yang Maha Mengetahui tahu bahawa akan ada saat-saat manusia dihambat rasa putus asa dan lemah semangat. Justeru awal-awal lagi Allah rakamkan dalam al-Quran ayat 53 hingga ayat 54 Surah al-Zumar,
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Ayat 53
Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi. Ayat 54
Serta turutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (yakni al-Quran sebagai panduan hidup), sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedangkan kamu tidak menyedarinya.Ayat 55
Bacalah penerangan Hadis 42 dalam buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Pengarangnya ialah Dr Mustafa al-Bugho dan Muhyiddin Misto.Terdapat syarahan panjang lebar berkenaan taubat dan keluasan rahmat Allah.
Insya Allah, dengan ilmu mengenal Allah, kita akan lebih dekat denganNya dan semakin berwaspada dengan bisikan-bisikan iblis. Iblis hanya mahu menambah kawan di neraka sedangkan Allah mahu kita menikmati ketenangan hidup di dunia dan bahagia di akhirat. Apa yang baik milik Allah jua.
Malam kian larut. Seorang isteri menunggu-nunggu suaminya pulang. Mereka ini pasangan baru berkahwin. Suaminya aktivis dalam masyarakat. Siang berkerja, malam berceramah. Tidak larat lagi menongkat mata, si isteri masuk ke bilik dan merebahkan badannya ke katil. Dia baring mengiring. Kemudian dia terlelap.
Si isteri tersedar tatkala mendengar derap kaki melangkah masuk ke bilik. Dia terus berpura-pura tidur. Buat seketika, si isteri membiarkan suaminya bersalin pakaian terlebih dahulu. Perlahan-lahan si suami merebahkan badan di samping isteri. Sedikit pun dia tidak mengusik isterinya yang sedang tidur. Si isteri yang sebenarnya sudah tersedar itu menunggu-nunggu lagi. “Peluklah sayang, abang.” Bisik hatinya. Puas menunggu, tiada apa-apa reaksi dari suaminya. Malam terus berlalu. Si isteri sedikit kecewa.
Esoknya, isteri bertanya, “Kenapa abang tak peluk sayang semalam.” “Abang sangka sayang sudah tidur. Abang tidak mahu menganggu sayang sebenarnya. Mungkin sayang letih. Lagi pun sayang sedang alami alahan hamil, bukan?” **************
Secebis kisah di atas merupakan perkara biasa berlaku di kalangan suami isteri. Sebenarnya baik isteri mahupun suami sukakan belaian dari pasangannya. Bagi isteri, sentuhan, belaian dan ciuman mesra suami yang didambakan tidak semestinya melibatkan hubungan intim. Ia sudah cukup memenuhi keperluan emosinya yang mahukan perhatian dari suaminya. Hubungan intim pula hanyalah seperti fitrah makan dan minum. Bila lapar dan dahaga, baru kita akan makan dan minum.
Manakala sentuhan-sentuhan ringan, pelukan mesra dan ciuman seboleh-bolehnya dilakukan setiap hari. Banyak sedikit bergantung pada keadaan. Iya lah..siang-siang, masing-masing sibuk dengan tanggungjawab mencari nafkah dan mengurus keluarga. **************
Apa yang dinukilkan di atas merupakan salah satu sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang jarang diberi perhatian oleh para suami hari ini. Kebanyakan suami, bila dia mahu ‘sesuatu’ dari isterinya barulah dia mahu menyentuh isterinya. Justeru, tidaklah pelik jika isteri merasakan dia bagai ‘alat memuaskan nafsu’ sahaja. Fitrahnya mahu bermanja tidak terpenuhi. Aisyah r.a menceritakan,“Rasulullah suka mencium sebahagian isteri-isterinya sedangkan dia berpuasa. Kemudian isteri-isterinya akan ketawa.”
Lihatlah, isteri-isteri Rasulullah yang bertaraf Ummahatul Mukminin itu pun suka dicumbu mesra. Mereka ketawa bila Rasulullah melakukannya kerana merasa gembira. Rasulullah s.a.w juga pernah mandi bersama isterinya sedangkan dia berpuasa. Dalam satu kisah lain, Aisyah r.a bercerita, “ Nabi s.a.w suka mencium dan bersenda gurau atau bersentuhan kulit dengan isterinya, padahal waktu itu dia sedang berpuasa.”
Zainab anak perempuan Ummu Salamah mendapat cerita dari ibunya, “Pada satu ketika, aku bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut kain tenun. Tiba-tiba aku didatangi haid lalu aku keluar perlahan-lahan. Setelah itu aku mengambil kain untuk dipakai menahan haid. Kemudian Rasulullah berkata, ‘Ada apa dengan kamu? Adakah kamu haid?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Kemudian aku masuk lagi ke dalam selimut bersama Rasulullah.”
Semua hadis di atas direkodkan oleh Imam Bukhari. Kita dapat lihat betapa Rasulullah merupakan seorang suami yang sungguh romantik. Keadaan berpuasa dan isterinya yang sedang haid tidak menghalang dia bermesra dengan isteri-isterinya. Keadaan ini memang digemari kaum wanita. Mereka tetap suka pada sentuhan mesra pada bila-bila masa.
Rasulullah berpoligami setelah usianya 50-an ke atas. Kebanyakan isterinya pula merupakan wanita berumur lanjut, janda dan balu. Apa yang dapat kita fahami dari hadis-hadis ini ialah romantiknya Rasulullah berkekalan pada usia senja. Isteri-isterinya kecuali Aisyah juga sudah senja usia mereka waktu itu.
Kita dapat lihat pasangan Mat Salleh masih berpimpinan tangan berjalan sedangkan wajah mereka kedut seribu. Berpimpin tangan itu adalah bentuk sentuhan dan belaian yang sesuai bila berjalan di tempat awam. Kalau kita bagaimana pula? Isteri yang semakin senja itu adakah masih dibelai mesra seperti muda-muda dahulu? Atau kita fikir hanya yang muda layak menerima sentuhan kasih seorang suami?
Meow...! Eh...sayang pun tahu sunnah Nabi ye...meow...romantiknye... sukalah kalau selalu camni. ********
Buat para suami yang berhasrat menambah cawangan, cubalah tanya diri sendiri, adakah sunnah ini sudah dilakukan dengan seorang isteri? Jika belum, mulailah secara amali dengan isteri sedia ada terlebih dahulu. Jika isteri yang ada pun merasa sepi walau suami di sisi, bagaimana pula suami yang begini akan mampu memenuhi emosi isteri kedua, ketiga dan keempat nanti?
Sebagai wanita yang telah bersuami, saya faham pada keluhan sebahagian isteri yang berpendapat suaminya belum mampu untuk berpoligami. Namun ramai suami yang tidak faham apa sebenarnya yang isteri impikan berpendapat isterinya saja-saja tidak reda dengan ketentuan Allah yang mengharuskan poligami. Tuduhan seperti itu menambah luka di hati isteri yang sedia sepi dan rindu. Rindu pada yang ada di hadapan mata namun terasa jauh. Terasa jauh dek jauhnya pengertian suami tentang keperluan emosi isterinya
Beberapa sahabat saya yang bersuamikan individu yang memahami kebutuhan wanita mampu hidup bahagia dengan madunya. Dengan kata lain, suami begini bukan hebat menyebut sunnah pada kuantiti isteri tetapi hebat pada amalan menurut sunnah Nabi dari segenap segi. Hati yang bertaut cinta pada Allah. Lidah yang sentiasa basah dengan zikrullah. Teguh imannya sehingga melihat amanah dan tanggungjawab sebagai beban yang harus dielakkan. Bukannya yang perlu diusahakan supaya datang. Bila datang amanah tanpa dipinta, janji Allah untuk membantu melunasi tanggungjawab pasti terlaksana.
Justeru, suami-suami yang mahu berpoligami tetapi mendapat reaksi kurang menyenangkan dari isterinya, muhasabahlah diri sendiri dahulu sebelum menuding jari kepada pihak isteri.
“Seringkali juga saya dikemukakan persoalan cinta di tengah jalan dakwah. Sudah beberapa generasi adik-adik yang berusrah dengan saya bertanyakan soal hati. Lazimnya mereka ini menjaga batas pergaulan seberapa yang boleh.” Namun, semasa tempoh berurusan itulah, tiba-tiba hati berdetup-detap pada seseorang. Hati itu sensitif pada individu tertentu sahaja dan bukan pada semua orang yang berurusan dengannya. Kalau dengan semua orang atau lebih seorang, hati mahu dup-dap…dup-dap… ini kes tidak normal pula. Harus jumpa doktor kalau begitu. Lelaki tidak mengapalah sebab dia ada kuota sampai empat.
Jika individu yang dilamun ‘jatuh hati’ ini berlatar belakang pendidikan agama dan keluarga juga menitik beratkan amalan agama. Dia ada ‘imunisasi’ jugalah sedikit sebanyak. Dilawannya ‘cinta’ itu dengan istighfar dan zikrullah. Namun… aduh… teringat-ingat juga pada si dia. Susahnya mahu dilawan perasaan halus yang datang.
Tidaklah salah jika kita meminati seseorang kerana agamanya. Ini untuk gadis yang belum kahwin. Dalam masa yang sama kita punya hasrat serius mahu menikahinya. Bagi kes ini; solat hajat, solat istikharah dan bincang dengan ibubapa adalah ikhtiarnya.
Biasanya, perasaan yang benar itu tidaklah pula membuatkan empunya diri angau dan lagha dari Allah. Suka, suka juga namun rasional masih ada. Cinta itu pula tidaklah boleh ditafsir sesuka hati berdasarkan amalan orang awam. Cinta itu sudah disebut oleh Allah dalam al-Quran dengan segala konsep dan amalannya yang indah dan murni.
Tip yang dilakarkan di bawah ini adalah untuk kes ‘lamunan hati’, ‘jatuh hati’ dan ‘cinta’ buatan iblis. Cinta karya iblis inilah yang dinamakan ‘cinta itu buta’. Buta dari melihat reda dan murka Allah. Buta dari melihat panduan-panduan Islam sebagai pedoman. Sasaran utama virus ‘cinta buta’ ialah remaja yang tidak faham Islam, individu yang membelakangkan Quran dan Sunnah walau dia faham Islam. Justeru timbullah kisah jijik dan sampah antara isteri A dengan suami B, lelaki dan lelaki, cinta dengan ipar dan pelbagai spesis lagi. Mereka yang sedar sedang dihinggapi virus ‘cinta buta’ ini bolehlah cuba-cuba vaksin berikut:
Tip menyisih cinta yang tidak diundang.
1. Yakin pada Allah Yang Maha Memahami. Kasihan adikku yang sedar akan gangguan hati yang datang. Ketahuilah adikku… Allah memahami perasaanmu. Allah Yang Maha Mendengar tahu engkau bersungguh-sungguh datang kepadaNya… mengabdikan dirimu padaNya seluruh jiwa raga… namun apakan daya… engkau hanya insan lemah.
2. Tipu daya syaitan sangat lemah sebenarnya. Allah memberitahu kita bahawa syaitan dan tipudayanya itu lebih lemah selagi engkau berterusan menyeru namaNya. Allah berkata dalam surah al-Nisa’, ayat 76,
اِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيْفًا
Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah. Justeru jangan berhenti dari mujahadah. Meskipun engkau sering keletihan melawan perasaan.
3. Menjauhkan diri dari si dia yang menjadi wasilah iblis untuk melalaikan hatimu. Jauhkan diri dari bertemu si dia selagi boleh. Kalau terpaksa bertemu kerana ada urusan, maka berusahalah meringkas- padatkan perbualan pada perkara-perkara penting sahaja. Usah dituruti nafsu remajamu yang sedang mekar dipermainkan nafsu dan iblis. Niatkan kerana Allah, Allah pasti membantu.
Allah menukilkan ejekan syaitan kepada manusia dalam surah Ibrahim, ayat 22, Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Apa yang kita fikirkan setelah meneliti ayat ini? Syaitan menyatakan bahawa kuasanya hanya dapat mengajak kita sahaja. Dia langsung tiada kuasa memaksa kita melakukan menurut kehendaknya. Kita sendirilah yang berkuasa menentukan apa yang kita mahu.
Jika kita memilih ‘mahu’ menurut kehendak dan reda Allah, maka mohonlah kekuatan kepadaNya.Sempitkan jalan nafsu dengan berpuasa sunat. Sibukkan diri dengan kerja-kerja kita yang lebih banyak dari waktu yang ada. Insya Allah, apabila kita fokus pada sesuatu perkara, kita akan dapat melupakan perkara lain. Insya Allah.
Allah berkata dalam surah Al Ahzaab, ayat 4, Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya. Maksudnya kita tidak mampu menumpukan dua perkara dalam satu masa. Bila hati sedang khusyuk ingat Allah, mustahil hati boleh pula ingat perkara-perkara lain. Lidah yang berzikir belum tentu hatinya turut berzikir. Tapi hati yang berzikir akan membuatkan lidahnya turut berzikir. Jadi beri tumpuan pada hati.
4. Maafkan diri sendiri atas perkara yang tidak disengajakan. Sedangkan Allah tidak mengambil kira perbuatan yang tersalah.
Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Al-Ahzaab, 5
5. Usah jemu bermujahadah. Ingatlah adikku, setiap mujahadahmu diberi perhatian oleh Allah. Ganjaran pahala sedia menanti. Justeru untuk apa engkau merasa jemu? Allah berkata dalam surah Al-Naazi’aat, ayat 40 dan 41,Sesiapa yang takut akan kedudukan Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.
Iya adikku, kalau kita lakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah maka Allah menjanjikan syurga buat kita. Menangislah syaitan dan iblis apabila kita terus bersemangat bermujahadah agar mendapat jiwa yang tenang.
6. Bertaubat dari kesalahan yang kita sendiri usahakan dengan sengaja. Jika terdapat unsur-unsur derhaka kepada Allah sehingga kita ditimpa ‘bala perasaan’ itu seperti tidak menjaga batas pergaulan, maka pahitnya mujahadah itu adalah sebagai kaffarah dosa-dosamu. Teruslah menuju Tuhanmu. Jangan berputus asa. Allah Maha Mendengar rayuan dan keluhanmu.
Tatkala dosamu diampunkan Tuhan, insya Allah, Allah lapangkan dadamu dan melepaskan dirimu dari belenggu perasaan yang menyiksa.
7. Beri tempoh untuk diri sendiri. Berilah juga masa untuk perasaan itu hilang dari dirimu. Usah dilayan dan juga usah dipaksa pergi. Perasaan adalah suatu hal yang sungguh halus dan bergantunglah kejap-kejap pada Yang Maha Memahami. Allah pasti membantu. Ingatlah janji Allah yang dinukilkan dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69,
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, pasti Kami akan pimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
Sebenarnya masih banyak konsep atau prinsip asas dalam Islam yang boleh membantu kita bermujahadah. Memadailah saya menggariskan perkara-perkara yang paling penting sebagai panduan beramal.
Beginikah cinta? Buat gadisku, simpanlah ‘mawaddah dan rahmah’ itu hanya untuk suamimu yang sah. Indahnya ‘mawaddah dan rahmah’ itu sudah pun kunikmati bersama suami yang Allah ciptakan dan janjikan untukku. Kusimpan ia sejak usiaku mengenal baligh. Indahnya ajaran Islam. Usah diraikan Valentine Day. Ia bukan budaya Islam. Tahniah buat anda yang punya pengalaman seperti saya. Segala puji hanya untukMu Tuhan yang memilih kami meniti jalanMu. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.
إِنَّا سَنُلۡقِى عَلَيۡكَ قَوۡلاً۬ ثَقِيلاً
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. Al-Muzammil:1-6
Saya kira masih ramai antara kita yang tahu mengenai kelebihan solat Tahajjud tapi masih ‘bercinta’ dengan gebar selesa di dini hari yang sepi. Susah betul mahu bangun pagi-pagi buta itu, bukan? Tahu dan mahu tapi belum mampu berpisah dengan tilam dan selimut. Apatah lagi saat orang lain lena dibuai mimpi. Sayang betul mahu korbankan waktu tidur itu, iya tak? Alangkah Subuh ditangguh-tangguh, inikan pula mahu bangun Tahajjud!
Saya ingin berkongsi secangkir nasihat dari tokoh ulama bertaraf wali, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (lebih mesra dipanggil Tok Guru) mengenai solat Tahajjud.
Tok Guru berkata, “Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah. Kemudian tidurlah.
Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya). Kemudian malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga. Kita bimbang malaikat tidak akan datang lagi mengejutkan kita.”
Tidakkah kita merasa malu kepada Allah bila terjaga pagi-pagi buta, Allah sedang menunggu permintaan kita untuk dikabulkan tapi kita menyombongkan diri dengan memejam rapat mata kita.
Suweileh, Amman, Jordan Tahun pertama di Jordan, saya masih liat bangun Tahajjud walaupun bab solat fardu, saya segera menunaikannya sebaik masuk waktu kecuali ada rukhsah syar’ie. Pesanan Hassan al-Banna itu dapat pula saya lunasi, alhamdulillah. Saya istiqamah dengan nasihat Tok Guru sebelum ini. Doa sahaja dalam selimut. Apalah pandangan Allah pada saya…!
Takdir Allah, seorang teman serumah yang baru saya kenali dan tinggal sebilik pula suka bangun Tahajjud. Bukan sekali sekala, tetapi setiap malam kecuali datang bulan. Saya tahulah dia bangun Tahajjud setiap malam sebab saya pun terjaga setiap malam juga, alhamdulillah. Masa-masa tertentu ada juga yang tidak sedar. Teman saya itulah yang kejutkan saya agar bangun Tahajjud.
Dalam diam saya kagumi dia tapi opss… teman saya itu sedar hanya dia yang bangun malam. 3 orang lagi rakan serumah membuta sahaja kerjanya. Jarang-jarang gagahkan diri untuk Tahajjud. Dia paling muda di antara kami berempat. Suatu hari, dia membebel pada kami menyebut tentang kepentingan Tahajjud.
Hmm…patutlah dia kelihatan biasa sahaja dengan Tahajjud, rupa-rupanya ahli keluarganya dilatih sejak kecil untuk bertahajjud. Bapanya salah seorang ulama di Perak (sekarang Allahyarham). Banyak didikan yang baik dari keluarganya dikongsikan dengan kami.
Sejak kena bebel itulah, saya mula rajin bangun malam. Itu pun banyak juga ’last minute’- menunggu saat azan Subuh dikumandangkan. Apa pun, syukur kepada Allah yang mengurniakan teman yang baik dan ikhlas. Khasiat Tahajjud ini memang besar.
Akhir kata, memang benar apa yang Tok Guru pesan sebelum ini. Hargailah waktu sedar di tengah malam dengan memohon kepada Allah walau sedikit. Insya Allah, lama kelamaan, kita akan ada kekuatan untuk menunaikan Tahajjud.
Perkahwinan mengandungi erti saling memberi dan menerima. Justeru, suami isteri seharusnya berusaha memperbaiki hubungan dan menambah resepi cinta antara satu sama lain. Jika hanya sebelah pihak yang berusaha, ia tidak akan berkesan. Namun sesiapa yang memulakan dahulu, dialah yang terbaik di sisi Allah, insya Allah. Oleh kerana yang bertanya adalah pihak suami, maka saya fokuskan pada mereka dulu. Terima kasih kepada yang bertanya. Moga keprihatinan saudara mendapat limpahan kasih sayang Allah.
Apa-apa yang saya nyatakan di bawah ini merupakan hasil saya belajar dari kesilapan saya sendiri, juga melalui pembacaan untuk mengenal diri sendiri sebagai wanita. Baja 1 dan Baja 2 merupakan petua umum untuk suami atau isteri. Baja 3 dan seterusnya adalah khusus untuk para suami.
Baja 1 Recharge IMAN (Perbaharui IMAN) Saudara percaya kepada Allah sebagai Ilah (Tuhan) yang menciptakan diri saudara dan menjodohkan saudara dengan isteri saudara? Allah itulah yang menjanjikan limpahan Mawaddah dan Rahmah bagi pasangan suami isteri. Allah berkata melalui surah Ar Rum, ayat 21,
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Ayat ini banyak dicetak di kad jemputan kahwin sekarang. Saya berharap mereka yang memilih ayat ini dapat memahami apa yang tersurat dan tersirat dalam ayat tersebut.
Lampu dapat dinyalakan kerana adanya arus elektrik. Arus elektrik itu datangnya dari kabel yang dibekalkan menurut kawasan. Kabel itu pula mendapat bekalan dari stesen jana kuasa hidroelektrik. Jika mana-mana wayar atau kabel yang berkesinambungan dengan stesen jana kuasa tadi terputus atau rosak, maka bekalan elektrik akan terputus.
Mawaddah itu datangnya dari Allah yang bersifat al-Wadud (Yang Maha Menyintai). Bila kita sentiasa ‘online’ dengan Allah, maka bekalan Mawaddah itu akan berterusan menyinari pasangan suami isteri. Bila cahaya Mawaddah semakin malap, apa yang kita perlu cek ialah wayar atau kabel yang menghubungkan kita dengan Allah. Hanya satu kabel yang wujud dalam diri kita, itulah hati.
Lampu elektrik akan bercahaya tatkala menerima arus elektrik. Begitulah hati yang akan bersinar dengan kasih sayang apabila menerima kasih sayang Allah. Kasih sayang Allah hanya dapat diperolehi dengan menunaikan yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Baja 1 ini adalah prinsip umum dalam konteks komunikasi dengan manusia. Hubungan suami isteri adalah sebahagian daripadanya.
Allah hanya dapat dirasa oleh hati, bukan dengan akal. Oleh sebab itu Allah menyebut bahawa dia tidak melihat rupa dan harta kita tetapi Dia melihat hati-hati kita. Allah juga tidak menyebut bahawa Dia melihat akal kita. Sebaliknya akal banyak disebut agar manusia menggunakannya untuk berfikir. Hasil fikiran itu adalah untuk ‘recharge’ IMAN dan TAQWA di hati.
Baja 2. Mengambil Vitamin Z. Vitamin Z ialah Zikrullah. Apa beza dengan Baja 1 di atas? Baja 1 adalah tahap kita perlu bertafakkur dan mengoreksi diri di manakah tahap hubungan kita dengan Allah selama ini. Apakah solat kita khusyuk? Apakah puasa kita ok? Apakah kita yakin bahawa Allah al-Wadudlah berkuasa memberi atau menarik balik Mawaddah dan Rahmah di hati suami atau isteri? Setelah memastikannya, kita tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk mengambil Vitamin Z. Vitamin Z penting bagi memastikan kita sentiasa ‘online’ dengan Allah.
IMAN itu boleh bertambah dan berkurang berdasarkan amalan seseorang. Amalan pertama yang mesti dijaga ialah solat dan kualitinya. Solat merupakan kaedah komunikasi WAJIB dengan Allah.
Solat sudah beres? Amalkan zikir tetap seperti bacaan al-Mathurat sama ada Mathurat kecil atau besar. Juga wirid-wirid lain bersumberkan amalan Rasulullah s.a.w.
Salah seorang anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Tok Guru) yang berusrah bersama saya berkongsi petua Tok Guru dengan kami. Katanya, ayah berpesan agar amalkan mana-mana bacaan dari al-Mathurat walau sedikit. Bacaan itu dijadikan rutin harian.
Saya ada pengalaman meninggalkan bacaan al-Mathurat selepas kahwin. Sedangkan saya mengamalkannya sejak remaja. Saya tidak sedar kekurangan itu sehinggalah seorang sahabat menegur saya.
Beberapa tahun yang lalu, suatu hari, saya bertemu dengan sahabat itu. Dia lebih muda dari saya namun menempuh alam perkahwinan lebih awal. Biasalah dalam usia perkahwinan yang masih baru, kita belum benar-benar mengenali pasangan. Jadi saya minta nasihat dia. Daripada cerita saya, dia ‘detect’ saya berkenaan al-Mathurat. Saya tidak sentuh pun hal al-Mathurat tapi itulah nasihatnya pada saya. Seolah-olah dia dapat membaca bahawa saya dalam keadaan meninggalkan amalan tersebut. Justeru itulah saya merasa berat dengan apa yang berlaku di sekeliling walaupun mungkin pada hal-hal kecil sahaja.
Masalah yang kita rasa masalah belum tentu ia hakikat kepada masalah yang sedang dihadapi. Masalah sebenar saya ialah saya lalai dari Allah, maka Allah menguji saya agar saya kembali kepadaNya.
Pada asasnya, suami saya seorang yang baik, lemah lembut, bertanggungjawab dan penuh kasih sayang. Keadaan itu menyebabkan saya terleka tanpa disedari. Manusia itu diciptakan lemah dan mudah hanyut dalam nikmat. Saya masih menjaga ibadah yang wajib namun amalan sunat yang biasa dilakukan, sedikit demi sedikit saya mengabaikannya. Tiada yang lebih baik kecuali Allah.
Alhamdulillah, sejak hari itu saya mengamalkan semula al-Mathurat. Saya perasan suami juga istiqamah membaca al-Mathurat. Hubungan kami terasa bertambah baik. Saya juga memohon kepada Allah agar dijadikan saya dari kalangan hambaNya yang bersyukur ketika senang dan sabar ketika susah.
Kembalikan hati kita kepada Allah, Allah kembalikan hati-hati yang ikhlas kepada kita.
Baja 3 Memahami psikologi wanita yang suka berkomunikasi. Wanita dikenali dengan sikap suka bercakap dan berbual. Mereka suka melahirkan perasaan mereka secara lisan. Jadi lakukan perkara yang sama terhadap isteri.
Ucapkanlah apa yang ada di hati seperti sayang, rindu dan lain-lain pada isteri. Sebenarnya Islam memang menunjuk cara demikian. Bila kita tidak menzahirkan apa yang ada di hati, isteri tidak akan tahu dan yakin bahawa suaminya menyayangi dirinya.
Ini menyebabkan isteri terasa jauh hati, sepi dan rindu meskipun suaminya menunaikan tanggungjawab dengan baik.
Persepsi wanita terhadap kasih sayang ialah yang sering diucapkan. Ia adalah fitrah kejadian wanita dari sudut emosi yang Allah ciptakan. Justeru suami perlu memahami keadaan ini dan berusaha mengisi emosi isteri.
Pada pandangan saya, ia adalah sebahagian nafkah batin yang perlu dilunasi. Nafkah batin bukan sekadar ‘hal atas katil’ yang bersifat fizikal tetapi juga ‘hal komunikasi intim’ yang mampu menerbit rasa bahagia.
(Seksa tau perasaan isteri bila bertahun-tahun kahwin, sepatah ucapan sayang atau rindu tidak didengari dari suami. Itulah sebabnya suami-suami yang sudah memberi nafkah zahir dan nafkah ‘atas katil’ bingung melihat isteri masih murung. Tiada seri diwajah. Isteri pula malu mahu minta ucapan-ucapan demikian dari suami. Dia mahu suami belajar dan memahami sendiri apa yang dia mahukan. Paling penting ia lahir dari hati suami yang tulus. Bukannya dibuat-buat sekadar mengambil hati.)
Menurut pemerhatian saya, ramai suami yang berjaya berpoligami kerana pandai bermain dengan kata-kata meskipun mereka kurang bertanggungjawab dari sudut nafkah dan sebagainya. Wanita mudah percaya dengan apa yang dilihat dan didengar sebab itu kesaksian mereka agak kurang sikit dibandingkan dengan lelaki. (Tajuk tesis Sarjana saya ialah Konsep Kesaksian Wanita Menurut Undang-undang Keterangan Islam)
Kelebihan yang Allah kurniakan pada sebahagian lelaki itu telah disalahgunakan. Merekapandai menawan emosi (baca: hati) wanita agar berkahwin dengannya namun tanggungjawab dipandang enteng.
Sebahagian ‘buaya’ pula mengeksploitasi wanita dengan kata-kata manisnya. Malangnya nasib ummah hari ini bila lelaki mempergunakan wanita, bukannya melindungi mereka. Yang haram dipujuk rayu, yang halal (isteri) di jerkah herdik.
Apa yang diterangkan di atas merupakan manifestasi komunikasi yang begitu penting dalam konteks menyubur mawaddah dengan isteri.
Name: Nojie Alias Home: Al Khor, Qatar About Me: Ibu kepada 4 orang anak ( 2 putera dan 2 puteri). Sedang belajar mengenali diri sendiri dan yang Maha Pencipta...semoga Allah perkenankan segala impian dan cita-cita. Amin.... See my complete profile