Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kebenaran, dia mendapat ganjaran pahala sama seperti ganjaran pahala orang-orang yang mengikuti ajakannya, tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka.
Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, dia mendapat dosa sama seperti dosa orang-orang yang mengikutnya, tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Munajat Seorang Hamba
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM....
ALHAMDULILLAHI RABBIL A'LAMIN
WASSALATU WASSALAMU A'LA ASHRAFI AMBIYAAI ALMURSALIN WA A'LA ALIHI WASAHBIHI AJMA'IN
Ya allah, Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa keluarga kami, dosa masyarakat kami dan dosa keseluruh umat islam masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon apa yang telah dipohonkan oleh nabi Muhammad SAW dan kami meminta perlindungan daripada apa yang pernah diminta baginda SAW. Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon syurga tanpa hisab dan berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan segala perkara yang boleh membawa kami ke arahnya, selamatkan kami Ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah ya Tuhan kami, engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami zahir dan batin. berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami. Tambahkanlah Ya Allah kepada kami ilmu, iman, dan amal. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami kami pohon kepada Engkau Iman yang sempurna, Ilmu yang memberi manfaat, Rezeki yang halal, Anak yang soleh, Rumahtangga yang bahagia, Usia yang berkat, Doa yang mustajab, hajat yang tertunai, Kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, Keselamatan di dunia dan di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau di hati kami, hidupkanlah hati ini dan segala yang terbuku di hati kami, hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini ke[pada Engkau, sembuhkanlah segala penyakit yang berada di hati kami, selamatkanlah hati kami daripada sifat-sifat yang keji dan jauhilah kami daripada perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah Ya tuhan kami, jadikanlah hati kami hati yang sentiasa menyedari akan hakikat KetuhananMu dan Kerajaan-kerajaanMu dan masda depan kami di akhirat nanti. Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami ini hambaMu yang mengabdikan diri kepada Engkau dengan sebaik-baiknya. Berikanlah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami, supaya dapat kami melakukan segala yang diperintah oleh Engkau, meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.
Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas mati.
Ya Allah Ya Tuhan kami, hidupkanlah kami dalam Iman dan matikanlah kami dalam Iman, selamatkanlah Iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembus nafas yang terakhir. Ya Allah Ya Tuhan, selamatkanlah kami semasa berada di dalam kubur, jadikanlah kubur kami salah satu taman dari taman syurga, selamatkanlah kami daripada seghala angkara azab kubur dan jangan Engkau jadikan kubur kami itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.
Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa dalam perjalanan menuju Mahsyar. Selamatkanlah kami Ya Allah semasa berada di padang Mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam tujuh golongan orang yang mendapat bayangan naungan 'Arasy Engkau.
Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkan kesilapan kami zahir dan batin semasa kami dijalankan hisab, hisabkanlah kami Ya Allah dengan hisab yang ringan, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat nabi kami, Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hambaMu ini, hamba yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan. Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam Nabi kami al-Kauthar. Selamatkanlah kami semasa menyeberangi titian Siratulmustaqim.
Ya Allah Ya Tuhan kami, masukkanlah kami ke dalam syurga Engkau bersama orang-orang yang memasukinya.
LA HAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHI A'LIYYIL A'ZHIM
Ya Allah Ya Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini dengan berkat nabi kami Nabi Muhammad SAW dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas.
Saat menghadapi sakaratul maut adalah detik kritikal kepada orang yang akan dicabut nyawanya. Hayat penghabisan itu bakal menentukan sama ada seseorang itu mati dalam iman atau mati sebagai seorang yang kufur.
Sehubungan itu, panduan ajaran Islam ada menerangkan kepentingan talkin syahadah iaitu mengajarkan kalimah tauhid kepada orang yang berada dalam keadaan sakaratul maut. Kematian adalah suatu yang pasti dihadapi setiap manusia, sama ada dia bersedia atau tidak, maut pasti datang menjengah.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhan-mu kamu akan dikembalikan.” (Surah as-Sajdah [032], ayat 11)
Pengisi neraka
Daripada Othman bin Affan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “sesiapa yang meninggal dunia dengan penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Saidina Umar al-Khattab juga pernah menyebut yang maksudnya, “Hendaklah kamu hadir kepada orang yang hendak meninggal dunia daripada kalangan kamu dan ingatkanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka melihat apa yang kamu tidak nampak dan talkinkanlah mereka dengan kalimah tiada Tuhan melainkan Allah.”
Malaikat akan datang memberitahu mengenai terputusnya kelazatan dan kenikmatan dunia. Dalam masa yang sama, iblis dan syaitan juga akan berkeliaran mencari peluang memalingkan hati dan menghasut serta memperdaya supaya orang itu tergelincir imannya dan seterusnya menjadi calon pengisi neraka seperti mereka dan keturunannya. Anak cucu-cicit ketika itu akan mengelilingi manusia dan muncul dengan menyerupai wajah orang terdahulu yang disayangi manusia tadi.
Kekalkan solat
Dengan wajah bertopengkan manusia, syaitan membisikkan hasutan ke telinga supaya jangan mempercayai Allah SWT, Rasul-Nya, kitab al-Quran dan hari kiamat. Namun, manusia yang kuat iman dan pegangan agamanya serta ketika hidupnya sentiasa mengekalkan solat dan puasa, tidak akan mudah termakan bisikan syaitan. Maka di sinilah pentingnya peranan kerabat terhampir dengan pesakit mengajar dan mengulang-ulang serta membisikkan kalimah syahadah supaya tidak lekang daripada mulutnya supaya akhir kalamnya nanti dengan sebutan kalimah itu. Amalan ini digalakkan, malah sunat dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup ke atas orang yang berada di saat hampir kematian.
Talkin
Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “(Ajarkanlah) orang hendak meninggal dunia dari kalangan kamu dengan talkinkanlah ‘La illaa ha Ilaaha.’” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
Dalam satu riwayat lain daripada Huzaifah, ada sambungan hadis, “kerana ia (talkin) boleh menghapuskan dosa terdahulu.”
Orang yang hadir tidak dibenarkan membaca talkin dengan suara nyaring kerana dibimbangi berat lidah pesakit untuk menuturkannya, sebaliknya ajarkanlah kepada mereka dengan suara yang perlahan. Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan kalimah ini dibisikkan ke telinga pesakit supaya ia menghabiskan hayatnya dalam keadaan hatinya tiada mengingati perkara lain kecuali Allah SWT dan apabila tiada di dalam hatinya kecuali Tuhan Yang Esa, maka melalui kematian itu, dia akan mencapai nikmat tertinggi dalam perjalanannya menuju Allah SWT.
Orang yang hadir juga disunatkan menasihati pesakit supaya bersangka baik dengan Allah SWT, yang mendatangkan kepadanya detik kematian bakal dihadapinya. Ini adalah senjata sangat ampuh untuk menangkis serangan syaitan di saat ia dalam keadaan yang kritikal.
Dalam satu riwayat daripada Wathilah bin al-Asqa menyebut, “Talkinkan dan hadirkan kepada orang yang hendak meninggal dunia antara kamu dengan ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ serta gembirakanlah ia dengan syurga, kerana orang lelaki mahupun perempuan, di saat genting itu akan kebingungan. Demi Allah SWT, pandangan terhadap malaikat maut saja terasa hebat daripada seribu kali pukulan pedang. Demi Allah SWT, tidak akan keluar jiwa seseorang daripada dunia hingga setiap keringatnya merasa sakit kerana bingungnya.”
Bacaan doa
Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban)
Seperkara lagi yang penting bagi semua manusia yang bernyawa ialah melazimkan bacaan doa supaya mati dalam keadaan husnul khatimah dan minta dijauhkan mati dalam keadaan al-khatimah. Inilah yang diajar Nabi Muhammad SAW melalui doanya yang bermaksud, “Ya Allah, sudahilah pengakhir hayat kami dengan husnul khatimah dan janganlah sudahi pengakhir hayat kami dengan khatimah.”
Sesungguhnya pengajaran daripada al-Quran dan al-Sunnah ini adalah satu petunjuk bahawa kematian manusia bukanlah penamat kehidupan, tetapi ia adalah satu jambatan menuju ke alam yang lebih luas dan kekal abadi.
ALLAH tidak mengendahkan tiga golongan ini. Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya:
"Rasulullah SAW bersabda:" Ada tiga golongan di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa,"- kata Muawiyah, "juga tidak akan memandang mereka (mengendahkan mereka), bahkan mereka akan mendapat siksa yang pedih iaitu:
1) Orang tua penzina
2) Raja (penguasa) yang pembohong
3) si miskin yang sombong." (Muslim)
Huraian:Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Mereka tidak tahu mensyukuri nikmat pemberian Allah dan ada pula yang tidak sabar dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT.
Nikmat kepanjangan usia contohnya, membuatkan manusia hidup bersenang-lenang melakukan berbagai maksiat tanpa berusaha menambahkan amal kebaikan selama tempoh hayatnya yang panjang itu. Bahkan tanpa segan silu masih bergelumang dengan dosa perzinaan.
Begitu juga dengan pemimpin yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan, tetapi dia mensia-siakan kepercayaan itu dengan melakukan berbagai penipuan dan pembohongan yang mengecewakan harapan rakyat.
Termasuklah di sini, orang-orang miskin yang sombong yang juga dibenci oleh Allah di mana kemiskinan itu telah membuatkan dia lupa dengan akhirat, lupa dengan Allah, lupa dengan tujuan hidupnya dan lupa untuk beramal dan selalu disibukkan oleh usahanya mencari makan dan minum untuk menyambung hayatnya.
Bahkan kerana miskin juga ada yang berlagak sombong dan menyisihkan diri daripada orang ramai tanpa mahu bergaul. Kerana kemiskinan juga banyak orang miskin yang terjerumus dalam kekafiran, dan ia rela menjual agamanya kerana tuntutan hidupnya sementara ia dijanjikan hidup yang baik dalam agama lain. Tiga golongan ini tidak akan dipedulikan oleh Allah dan bakal menerima azab di hari akhirat kelak.
Pada suatu senja yang lenggang,terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-huyung. Pakaianya yang serba hitam menandakan bahwa ia berada dalam dukacita yang mencekam.
Kerudungnya menangkup rapat hampir seluruh wajahnya tanpa hias muka atau perhiasan menempel di tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan roman mukanya yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang telah meroyak hidupnya.
Ia melangkah terseret-seret mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu pelan-pelan sambil mengucapkan uluk salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam "Silakan masuk". Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus merunduk. Air matanya berderai tatkala ia berkata, "Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya." "Apakah dosamu wahai wanita ayu?" tanya Nabi Musa a.s. terkejut."Saya takut mengatakannya."jawab wanita cantik. "Katakanlah jangan ragu-ragu!" desak Nabi Musa.
Maka perempuan itupun terpatah bercerita, "Saya... telah berzina". Kepala Nabi Musa terangkat,hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, "Dari perzinaan itu saya pun...lantas hamil. Setelah anak itu lahir,langsung saya... cekik lehernya sampai... mati," ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya. Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, "Perempuan bejad, pergi kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!"... teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.
Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu hancur luluh segera bangkit dan melangkah surut. Dia terantuk-antuk keluar dari dalam rumah Nabi Musa. Ratap tangisnya amat memilukan. Ia tak tahu harus kemana lagi hendak mengadu. Bahkan ia tak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya. Ia tidak tahu bahwa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa. Sang Ruhul Amin Jibril lalu bertanya,"Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?" Nabi Musa terperanjat. "Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?" Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. "Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?" "! Ada!" jawab Jibril dengan tegas. "Dosa apakah itu?" tanya Musa kian penasaran."Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina".
Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusuk untuk memohonkan ampunan kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahwa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya.Bererti ia seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.Sedang orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahwa Allah itu ada, di jalan ketaatan kepada-Nya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.
Dalam hadis Nabi SAW disebutkan : Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibanding dengan orang yang membakar 70 buah Al-Qur'an, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Ka'bah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahwa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari diakhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.
Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita pezina dan dua hadis Nabi, mudah-mudahan menjadi pelajaran bagi kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah. Tolong sebarkan kepada saudara-saudara kita yang belum mengetahui. Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaa ilaaha illa anta, astaghfiruka wa atuubuilaiik.
Wassalam
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umatyang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (QS. Ali Imran 104:105)
Orang-Orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka.Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram.(Ar- Rad:28)
Dia melalui saat-saat sakarat ditemani suami tercinta, Rasulullah SAW. Dalam keadaan kesakitan yang amat itu, dia mengungkapkan kata-kata yang menyebabkan Jibril juga teruja. Katanya, ”Wahai rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini”. Rasulullah SAW berasa sayu mendengar semua itu.
Jibril naik bertemu Allah. Jibril bertanyakan Allah, adakah Allah mendengar kata-kata Saidatina Khadijah itu? Allah menjawab pertanyaan Jibril – bukan hanya kata-katanya sahaja yang Allah dengari malah bisikannya juga. Allah meminta Jibril menyampaikan salam buat Saidatina Khadijah. Jibril turun dan memberitahu Rasulullah SAW akan hal itu. Rasulullah SAW menyampaikan salam tersebut kepada isteri tercinta.
Ustaz turut menceritakan bahawa dalam sesetengah riwayat tangan Saidatina Khadijah seakan bersilang saat menyambut salam itu dan Saidatina Khadijah melafazkan bacaan yang begitu masyhur yang sering kita lafazkan selepas solat: Allaahum ma antas salaam - waminkas salaamWa ilaika ya 'uudus salaamFahayyina rabbanaa bissalaamWa adkhilnal jan nataka daaras salaamTabaa rakta rabbanaa wa ta 'aalaita yaa dzal jalaali wal ikraam.Ya Allah, Engkaulah kesejahteraan, dariMulah asal kesejahteraan dan kepadaMupula kembali kesejahteraan, maka hidupkanlah aku dengan kesejahteraan danmasukkanlah aku kedalam surga kampung kesejahteraan. Maha Mulia EngkauYa Allah yang memiliki kemegahan dan kemuliaan.
Dan pergilah Saidatina Khadijah menghadap Allah SWT, kekasih yang dirindui. Terlalu hebat wanita ini. Dialah insan pertama yang mengimani Rasulullah SAW. Tidak cukup dengan harta, tulang-tulangnya juga ingin digunakan untuk membantu perjuangan Rasulullah.
Menziarahi makam Khadijah ra membangkitkan perasaan dan semangat perjuangan yang luar biasa. Dia lambang kasih isteri yang sejati terhadap suami. Dia lambang tekun ibu dalam mendidik anak-anak mewarisi ibu bapa dalam perjuangan silih berganti generasi. Dia lambang pengorbanan unik ketika bersendirian mendokong suaminya menghadapi ramai golongan berkuasa di Mekah serta kejahilan dan ketakutan orang ramai di Semenanjung Arab.
Beruntung Khadijah ra berjaya menjual dunianya untuk membeli Akhirat yang lebih kekal dan abadi apabila Jibril datang memaklumkan kepada Nabi saw, “Berilah khabar gembira kepada Khadijah bahawa sebuah rumah telah dibina untuknya di Syurga ..”.Khadijah ra seorang koporat perniagaan antarabangsa. Barang dagangannya sampai hingga ke Syam, ketika itu dibawah Kerajaan Eropah (Rom). Seorang yang punya harga diri, digelar “At-Tahirah” (wanita suci) yang pernah menolak pinangan orang bangsawan tetapi melamar Muhammad yang dulu kerjanya menggembala kambing sesiapa yang boleh memberinya upah.
Tidak lain setelah mendengar lapuran Maisarah tentang akhlak Baginda saw disepanjang perjalanan perniagaan barangan Khadijah di Syam. Dia memilih ciri akhlak dikala manusia lain di Mekah ketika itu memilih ciri harta, pangkat dan pengaruh, seperti gaya ramai orang Malaysia Boleh hari ini. Bukan Nabi saw sahaja tak berharta, tetapi saudara mara yang pernah menjaga Baginda saw juga tidak berharta seperti Aminah, Abdul Muttalib dan Abu Talib.
“Aku takut terhadap apa akan terjadi terhadap diriku”, kata Nabi saw kepada Khadijah ra dalam keadaan gementar setiba di rumah dari Gua Hirak. Jawab Khadijah ra spontan dengan penuh yakin, seyakin dihari dia memilih dengan tepat bakal yang akan menjadi suaminya, “Kalla, ma yukh zikallahu abadan. Innaka la tasillu rahm, wa taksibul makdum …”. (Sekali-kali tidak. Allah sekali-kali tidak akan mengsengsarakan kau. Engkau menghubungkan silaturrahim. Engkau memberi makan orang yang kelaparan …”. Subhanallah! !.. Saya melihat Khadijah ra seorang yang bulat keyakinan dan kasih terhadap suaminya, sebulat keyakinan dan kasih suaminya terhadap Tuhannya. Hasilnya, anak-anak mereka bulat terhadap Risalah ayah dan ibunya.
Zainab binti Muhammad memilih meninggalkan suaminya Al-Ass di Mekah, menunggang unta menuju kepada ayahnya saw yang telah berhijrah bersama kaum Muslimin di Madinah. Ruqayyah dan Ummu Kalthum tabah disingkirkan hanya kerana Aqidah yang diperjuangkan oleh ayahnya. Fatimah ra menangis tetapi tabah sambil membersihkan rambut ayahnya yang ditabur kotoran oleh Quraisy. “Jangan menangis wahai anakku. Sesungguhnya Allah melindungi ayahmu”, kata Nabi saw kepada Fatimah. Mereka Akhawat Mukminat setabah ibu yang mendidik dan membesarkan.
Kemelut rumahtangga orang ramai hari ini ialah tidak bulatnya keyakinan si isteri terhadap suami, lantaran tidak bulatnya si suami terhadap Tuhan dan DakwahNya. Ramai suami yang tidak punya risalah dan ideologi apa-apa dalam hidup untuk dicapai. Perjuangan paling popular dewasa ini hanya sekadar mencapai rumah dan kereta mewah serta anak-anak yang bergaji besar yang semuanya nanti boleh dibangga-banggakan di depan sahabat handai dan taulan. Kesannya, keyakinan tidak bulat, kesangsian dan curiga dalam rumah tangga sering mewarnai kehidupan, banyak perkara berkira, perselisihan kerap berlaku, perjuangan, minat dan halatuju berbeda jauh walau hidup sebumbung dan dilimpahi kemewahan.
Jika ada yang minat dan terlibat dalam Dakwah semasa menuntut, ia hanya hobi sementara menunggu tamat, mendapat ijazah dan berkarier.Siddiq (membenarkan) lebih tinggi dari Iman. Syurga Firdaus dihuni oleh para Nabiyiin (Nabi-nabi), Siddiqiin (orang-orang yang membenarkan) , Syuhadak (orang-orang yang mati syahid) dan Salihin (orang-orang saleh), mereka adalah sebik-baik teman di Akhirat. Khadijah ra bukan sahaja telah beriman dengan Risalah yang suaminya baru terima dari Gua Hirak, tetapi juga telah membenarkan Risalah tersebut dengan mengorbankan segala perasaan, masa, harta dan apa sahaja yang dia miliki demi memenangkan Agama ini mengatasi Quraisy di Mekah dan Rom Parsi di muka bumi.
Boikot ekonomi Quraisy dan kabilah-kabilah Mekah walaupun menyebabkan kesengsaraan terhadap Nabi saw dan para Sahabar ra tetapi ia tidak berjaya antara lain kerana pengorbanan harta yang dihulurkan Khadijah ra ketika itu. Sindiran, fitnah, tohmahan dan perang saikologi yang dilancarkan Quraisy, walau memberi impak teruk kepada Dakwah Islam tetapi tidak mempu membunuh semangat Nabi saw lantaran dokongan moral, kasih dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Khadijah ketika itu.
Dalam perjuangan, peristiwa sedih sering berlaku kepada mana-mana pejuang. Kepada Nabi saw, diantaranya kesedihan Baginda saw ialah kematian Khadijah ra, kematian Abu Talib, dibaling batu di Taif, Hamzah ra di bunuh dan dimamah jantungnya, pembunuhan Rombongan Rajik 60 para hafiz dll. tetapi hanya tahun kematian Khadijah ra digelar Nabi saw sebagai Tahun Sedih. Wafak (setia) Nabi saw kepada Khadijah ra ialah Nabi saw sering memuliakan kawan-kawan lama Khadijah ra yang masih hidup dengan bertanya khabar dan menyampaikan hadiah dan kiriman.
Nabi saw juga sering menyebut tentangnya sehingga apabila Aisyah ra berkata, “Bukankah Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik?”, jawab Nabi saw,”Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepadaku apabila manusia lain kufur kepada aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku. Dia memberi aku harta ketika manusia lain memboikot dan mencegah harta dari sampai kepada (perjuangan) aku. Darinya aku dikurniakan anak-anak (yang mengikut perjuanganku)”.
Dari hadis ini dapat kita fahami apakah faktor dan kualiti seorang isteri yang sebenar yang menjadi pilihan seorang Nabi yang paling dikasihi Allah swt. Tidak lain dan tidak bukan ialah faktor meyakini penuh perjuangan ideologi, berkorban harta dan jiwa untuk memenangkannya serta menyedia dengan mendidik anak-anak untuk menyambung perjuangan yang panjang dan jauh hari kemenangan.
Kemelut para Duat hari ini diantaranya ialah dari sedikit mereka yang meyakini i Perjuangan untuk memenangkan Islam ini, lebih sedikit lagi mereka yang mentasdiq (membenarkan) perjuangan tersebut dengan bukti amal dan pengorbanan. Ramai yang mengatur usrah dan tamrin untuk belia dan dewasa sedang isterinya sendiri tidak berusrah dan anak-anaknya tidak tahu dimana. Ramai yang menggalakkan umat ke masjid dan majis-majlis ilmu sedang anaknya digalakkan ke luar negara yang terlalu ceruk tanpa masjid apatah lagi menghadiri majlis-majlis ilmu di sana. Ramai yang bercakap tentang pengorbanan harta tetapi pertubuhannya miskin tidak mampu memberi kebajikan ahli sedang ramai yang berkereta dan hidup mewah dibanglo yang tersergam. Ramai yang menyeru berkorban jiwa dan masa sedang masa kerier tambahan seperti locum, consultancy, direct-selling, tuition dan lain-lain lebih mendapat tempat dari Dakwah Fardiyah sedang masa dan tenaga yang diperlukan, teknik dan strategi adalah hampir sama. Apabila kita tidak bulat, maka anak-anak sendiri atau anak didik kita juga tidak bulat. Hasilnya, dari aduan kepada saya ramai anak-anak Duat yang merokok, bergirl atau berboyfriend, chit chat, skin-head, metal dan ada yang tidak diakui anak oleh Duat.
Bagi anak yang Duat cuba juga dekatkan mereka kepada Dakwah, mereka tidak mantap, tiada keyakinan diri, menurut sahaja, berpura-pura sementara menunggu dewasa, berkarier dan merdeka. Alangkah Dakwah ini memerlukan pengurus rumahtangga seperti Khadijah ra. Dia berjaya membuktikan pengurusan suami, anak-anak dan harta dengan jaya, bukan sekadar kata-kata dan tazkirah. Semua kualiti ini yang sering disebut-sebut oleh Rasulullah saw.
Kepada memiliki dan membuktikan kualiti ini juga kita mendorong para penuntut dan wanita Islam hari ini.“Salam sejahtera wahai Khadijah Al-Khuwailid. Salam sejahtera wahai isteri Rasulullah saw. Salam sejahtera wahai Ummi Mukminin (ibu kaum mukminin). Salam sejahtera wahai sekelian penduduk Tanah Perkuburan Al-Makla. Sesungguhnya kami, insyaAllah, akan bersama kamu. Kamu mendahului kami dan kami akan mengikut kemudian. Moga Allah mengampunkan kami dan kamu, mengampunkan orang yang terdahulu dari kalangan kamu dan yang terkemudian. Ya Allah, berilah pahala dan ganjaran kepada mereka atas sumbangan mereka kepada Islam. Ya Allah, jangan Engkau sekat kepada kami untuk beroleh pahala mereka. Jangan Engkau duga kami sesudah mereka. Ampunilah kami dan mereka. Amin” (Doa ziarah Khadijah ra dan Perkuburan Al-Makla, Mekah).
Name: Nojie Alias Home: Al Khor, Qatar About Me: Ibu kepada 4 orang anak ( 2 putera dan 2 puteri). Sedang belajar mengenali diri sendiri dan yang Maha Pencipta...semoga Allah perkenankan segala impian dan cita-cita. Amin.... See my complete profile